Saturday, January 9, 2016

Makanan Kucing Kelas Bawahan

بسم الله الرحمن الرحيم

Terdapat pelbagai makanan kering (kibble) kucing terjual di pasaran. Ianya mempunyai beberapa kelas dari tidak berkualiti hinggalah kepada premium dan holistik. Aku terpanggil untuk berkongsi tentang makanan kucing yang berada di kelas bawah. Sedia maklum, aku memang tidak menggalakan pemilik Kucing menggunakan makanan kelas bawahan tetapi bukan bermaksud aku 'condemn' korang. Sebenarnya apa keburukan makanan kelas bawahan? 

  • Mempunyai kandungan garam/sodium yang tinggi.
  • Menggunakan protein daging dengan kuantiti  yang sedikit.
  • Menggunakan bahan tumbuh-tumbuhan dengan kuantiti yang banyak.
  • Menggunakan bahan buangan dari haiwan seperti hati, usus, tulang dan sebagainya.
  • Mempunyai pewarna dan bahan pengawet.
  • Menggunakan bahan seperti Jagung, Gandum dan Soya..

Tinggi Garam/Sodium
Sedangkan manusia yang mengamalkan diet tinggi garam pun ditegah demi menjaga kesihatan, apatah lagi seekor haiwan. Kita pun tahu efek makanan yang tinggi garam memberi kesan buruk kepada kesihatan makhluk. Majlis Penyelidikan Antarabangsa (The National Research Council) menyatakan kandungan garam yang berlebihan boleh menyebabkan kegelisahan, peningkatan kadar degupan jantung, peningkatan pengambilan air dan kepekatan hemoglobin pada anjing. Manakala Anorexia (penumbesaran terjejas, dahaga yang berlebihan serta kencing berlebihan) pada kucing. Kebanyakkan kes yang aku dengar adalah kucing / anjing mati akibat batu karang. Bila partikel garam tu berkumpul di pundi kencing (akibat terlalu banyak), sampai suatu masa dia akan membentuk batu karang. Itulah cara korang membunuh haiwan kesayangan korang perlahan-lahan.
Walaubagaimanapun, kandungan garam itu tetap diperlukan kerana untuk melengkapkan lagi fungsi badan. Yang perlu dikawal adalah kuantitinya. Garam juga berfungsi untuk mengekalkan kandungan vitamin dalam makan supaya ianya tidak cepat teroksida.

Ayuh teruskan pembacaan lagi kerana aku akan cuba merungkaikan sedikit demi sedikit taktik pemasaran pemakanan haiwan peliharaan ini. Baca dengan perlahan dan hayati supaya tiada salah faham.

Contoh Bahan-bahan Dalam Makanan Kucing





Bijirin Tulen(Jagung, Beras, Gandum), Gluten Jagung, Pati Ayam, Produk Sampingan Ayam, Kacang Soya Penuh Lemak dan Kacang Soya, Minyak Kelapa Sawit, Ikan Laut, Tepung Gandum, Mineral, Garam Beriodin, Vitamin, Taurina, Minyak Soya, Metionina, Pewarna, Pengawet, Perasa.
"Whiskas Mackerel Adult"

Berikut adalah contoh bahan-bahan dalam 3 jenama makanan kucing terkenal di Malaysia. Aku ambil contoh Whiskas. Susunan bahan-bahan dalam makanan memainkan peranan yang penting untuk kita menentukan ianya baik atau kurang baik untuk haiwan peliharaan kita. Jadi, jika susunan bahan di akhir dalam resepi, maka itulah paling sikit kuantiti digunakan dalam sesuatu makanan itu. Kita tengok 5 bahan-bahan yang pertama iaitu :
- Bijirin Tulen (Jagung, Beras, Gandum)
- Gluten Jagung
- Pati Ayam
- Produk Sampingan Ayam
- Kacang Soya Penuh Lemak dan Kacang Soya

Amat menyedihkan kerana di pembungkusan makanan itu menunjukkan Whiskas Perisa Ikan Kembung, tetapi bila kita belek resepinya, tiada pun sumber dari Ikan Kembung. Biar betul? Kena tipu lah selama ini? Pihak mereka tak tipu pengguna tetapi pengguna yang terpedaya dengan kaedah pemasaran mereka. Dia mungkin hanya menggunakan 'perisa' ikan kembung. Yup, perisa ikan kembung sudah memadai mengatakan ianya perasa Ikan Kembung di pembungkusan. Mereka tak tipu pun. Perisa ini terjadi hasil gabungan bahan-bahan kimia, tidak semestinya ianya berasalkan dari ikan kembung itu sendiri. Pewarna dan pengawet pun turut menyumbang dalam pembentukan makanan ini. Kita boleh bandingkan makanan yang berkhasiat (kualiti tinggi) dengan makanan yang tidak berkhasiat (kualiti rendah) adalah dengan warna. Makanan sihat seharusnya kurang warna atau satu warna sahaja, warna itu terhasil dari bahan semula jadi dari makanan itu sendiri. Tetapi makanan yang mempunyai berwarna-warni adalah hasil dari pewarna tiruan. Sebenarnya kucing tak kisah pun makanan itu warna apa. Itulah kehebatan pemasaran mereka iaitu buat warna warni untuk menarik pemilik haiwan, bukan menarik haiwan peliharaan korang.

Protein Dari Sumber Daging dan Tumbuhan
Kucing adalah haiwan karnivor. Tetapi selepas evolusi domestik, Kucing menjadi 'sedikit' omnivor. Kita sebagai pemilik kena ingat bahawa walaupun Kucing seekor haiwan Omnivor, bukan bermakna kita boleh beri lebih 50% dalam diet dia dari sumber tumbuh-tumbuhan. Sumber tumbuh-tumbuhan dalam diet kucing hanyalah penyeri, tetapi bukan yang utama. Pengeluar makanan kucing menggunakan sumber protein dari tumbuhan kerana kosnya yang murah berbanding protein dari sumber daging. Aku ambil contoh dari jenama Smartheart :

Jagung, Beras Hancur, Produk Sampingan Ayam Diproses, Minyak Ayam, Minyak Soya, Gluten Jagung, Kacang Soya, Tepung Ikan, Serbuk Selulosa, Palpa Bit, Minyak Ikan, Lesitin, DLmetionin, Taurina, Antioksida, Vitamin dan Garam Mineral.
"Smartheart Mackerel Adult"

Lagi sekali aku amat kecewa dengan keberkesan pemasaran produk mereka dengan memperdayakan pengguna. Bahan paling banyak yang digunakan adalah jagung dan beras, diikuti produk sampingan ayam (usus, tulang, hati, pedal). Kedudukan Tepung Ikan adalah yang ke-8. Tepung Ikan itu pun bukan 100% dari isi ikan, malah ia ada prosesnya sebelum ikan itu dijadikan Tepung Ikan. Kucing bukan seperti Ayam dimana kita boleh beri mereka makan jagung dan beras! Ya, memang betul peratus Protein dalam makanan ini sesuai dengan keperluan kucing tetapi ianya berasaskan tumbuh-tumbuhan. Kucing perlukan sumber Protein berasaskan dari daging. Mereka menggunakan sumber protein dari tumbuhan kerana untung margin tinggi. Mereka tak ambil kisah sebenarnya haiwan peliharaan korang, yang penting poket mereka penuh :-)

Jagung, Soya, Gandum (Bijirin)
Tiga sumber tumbuhan ini sangat perlu dielakkan dalam diet makanan haiwan peliharaan korang. Ia menyebabkan kesan alergik pada kucing. Selain itu, kucing susah untuk mencerna makanan dari sumber ini. 3 jenis sumber makanan ini sangat popular dalam pembuatan makanan haiwan kelas bawahan. Ianya boleh menggantikan sebagai filler. Contoh, sosej atau nugget yang kita makan tu penuh dengan tepung tetapi bukannya daging. Mungkin daging digunakan hanya beberapa peratus sahaja. Sama situasi dengan makanan haiwan, mereka menggunakan sumber daging sedikit dan selebihnya jagung, soya dan gandum untuk membentuk sesuatu makanan itu.

Kesimpulan
Jika korang mampu, elakkan memberi makanan seperti ini kepada haiwan kesayangan korang. Lepas ni boleh pilih makanan mana yang bagus berdasarkan resepi di belakang bungkusan. Ingat, korang (manusia) lebih bijak dari haiwan kita. Jadi, pilihlah yang terbaik. Aku tak dapat apa-apa kelebihan pun jika korang beli atau tidak sebab bukan aku yang mengeluarkan produk itu. Aku hanya terpanggil untuk berkongsi ilmu pada pemilik-pemilik haiwan comel kita ini.

No comments: